Sunday, January 31, 2010

Bernasyid di dalam Masjid..


Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
2004

Antara perkara- perkara yang di sentuh oleh ulama usul fiqh mengenai peraturan-peraturan di dalam masjid ialah hukum meninggikan suara dalam masjid. Adalah makruh meninggikan suara dalam masjid begitu juga dengan bersuara mencari benda yang hilang di dalam masjid. (Al–Majmu' : 2/200-201 )

Mengangkat suara di dalam masjid kerana berzikir atau membaca al-Quaran tidaklah makruh , asalkan saja ianya tidak mengganggu orang lain yang juga sama-sama beribadat atau lebih-lebih lagi yang sedang bersembahyang.

Menurut sebahagian ulama, meninggikan suara di dalam masjid, baik kerana membaca al-Quran , berzikir mahupun dalam percakapan , yang boleh mengganggu orang yang sedang menunaikan sembahyang , hukumnya adalah haram . Namun, mereka berpendapat , apabila sesuatu suara terjadi misalnya oleh penceramah , yang tidak mengganggu kekhusyukkan orang yang sedang sembahyang , maka hukumnya adalah harus .

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wassallam pada suatu ketika pergi ke masjid. Didapatinya ramai orang yang sedang menunaikan sembahyang dan ramai pula yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi . Maka Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wassallam pun bersabda:

إن المصلىي إذا صلى فإنه يناجي ربه تبارك وتعالى فليعلم بما يناجيه ولا يجهر بعضكم على بعض
(رواه أحمد)

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang bersembahyang, apabila dia menunaikan sembahyang, sesungguhnya dia itu sedang bermunajat (bercakap-cakap) dengan Tuhannya yang Maha Suci dan Maha Tinggi, maka semestinya dia mengetahui apa yang dicakapkannya itu dan janganlah pula sebahagian daripada kamu meninggikan suaranya melebihi yang lain. (Hadith riwayat Ahmad)

Pengarang kitab Bughyah al-Mustarsyidin menghuraikan masalah ini dengan menyebutkan bahawa tidak makruh meninggikan suara kerana berzikir atau yang seumpamanya di dalam masjid, dan ini termasuklah membaca al-Quran,melainkan jika perbuatan itu boleh mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Bahkan jika gangguan itu bersangatan, maka hukumnya adalah haram dan dilarang melakukannya, sebagaimana jika seseorang itu berzikir selepas dilaungkan azan, lalu orang-orang yang datang hendak menunaikan sembahyang pun ikut duduk bersama-samanya berzikir, dan perbuatan mereka itu mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang, maka ini adalah dilarang.Tetapi jika tidak ada gangguan, maka harus mereka lakukan, bahkan sunat hukumnya. ( Bughyah al-Mustarsyidin: 66)


Di dalam hadits ada juga disebut tentang membaca syair di dalam masjid jika syair itu mengandungi pujian kepada Nabi Shallallahu alaihi wasallam dan pujian kepada Islam.Hadits berkenaan ialah:

مر عمر بن الخطاب في المسجد وحسان ينشد الشعر فلحظ إليه فقال: كنت أنشد فيه وفبه من هو خير منك، ثم التفت إلى أبي هريرة فقال: أنشدك بالله أسمعت صلى الله عليه وسلم يقول : أجب عني، اللهم أيده بروح القدس ؟ قال: نعم
(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya: ‘Umar bin al-Khaththab melintas di dalam masjid sedang Hassan mengucapkan sebuah syair, lalu dia (Hassan) memandangnya (‘Umar) dan berkata: “Aku pernah mengucapkan di dalamnya (masjid), dan di dalamnya (syair) menyebutkan orang yang lebih baik daripada engkau (‘Umar)”, kemudian dia berpaling kepada AbuHurairah dan berkata: ‘Saya minta kepadamu dengan nama Allah, apakah kamu mendengar Rasulullah Shallallah ‘alaihi wasallam bersabda: ‘(Wahai Hassan) jawablah daripadaku, wahai Allah kuatkanlah dia dengan roh suci (Jibril)?” (Abu Hurairah) berkata: “Ya”. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits ini disebutkan bahawa syair yang mengandungi kebenaran adalah diterima, dengan bukti bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mendoakan Hassan kerana syairnya.Jika keadaannya demikian, maka tidaklah dilarang mengucapkan syair di dalam masjid sebagaimana tiada larangan ke atas percakapan-percakapan yang lain yang boleh diterima.

Imam at-Tirmidzi berkata: “Sesungguhnya diriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bukan hanya satu hadits tentang keringanan (rukhshah) pada membaca syair di dalam masjid.”

Berdasarkan penjelasan mengenai hukum meninggikan suara dalam masjid, maka keharusan mengadakan pertandingan nasyid dalam masjid itu akan bergantung kepada sama ada ia mendatangkan gangguan kepada orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur, atau pun tidak.Maka jika pertandingan itu boleh mendatangkan gangguan kepada orang yang sedang sembahyang, tidak harus diadakan.

Nota: Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004. Teks penuh DI SINI


~
Apa yang berlaku di Masjid Kariah Kampung Sepri baru-baru ini bukanlah suatu pertandingan. Malah ia hanya wadah selingan untuk masyarakat Islam bersantai sebelum memulakan majlis ceramah. Pada ketika semua ahli kariah telah selesai menunaikan solat Isya', tiada lagi yang bersolat sunat mahupun tahiyyatul masjid, dendangan 2 buah nasyid oleh kumpulan dari Penjara Jelebu menepati apa yang dikatakan sebagai harus pada hukumnya.

Pun juga, Pengarah JAWI ketika berucap
pada Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan (SINI) di dalam ruang solat di masjid Wilayah Persekutuan telah disambut dengan tepukan oleh para hadirin yang terdiri dari kanak-kanak dan pada masa itu juga Ketua Pengarah JAKIM turut hadir sama tanpa ada bantahan.

Boleh juga dengar pandangan Ustaz Azhar Idrus (SINI) berkaitan hukum bernasyid di dalam masjid ini.

Akhir sekali, perkara ini telah pun dirujuk kepada Sohibul Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad dan beliau menyatakan bahawa harus melaksanakannya asalkan memenuhi syarat-syarat dan adab yang telah ditetapkan oleh Syara'. Malah telah pun menjadi kebiasaan bagi masyarakat di daerah Port Dickson tatkala mengadakan majlis-majlis sambutan hari kebesaran Islam peringkat daerah.

Wallahu a'lam..

~ Entry ini dimuatkan bagi menjawab kekeliruan yang berlaku kepada ahli Kariah Jelebu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Jelebu 1431H pada 28 Januari 2010 yang lalu.- Pegawai Agama Islam Daerah Jelebu.

Thursday, January 21, 2010

Tuan Kadi / Tuan Kadhi / Tuan Kadzi...

Seperti yang dinyatakan sebelum ini ( di SINI ), memang payah nak mencari data / maklumat / info yang jelas berkaitan dengan pengurusan hal ehwal agama Islam di Negeri Sembilan ini.. bukan payah apa pun, dek kerana sejarah yang ada banyak di simpan secara lisan tanpa didokumenkan.. ataupun aku yang terlepas pandang serta malas untuk mencarinya..mungkin jugak.. tapi apa yang boleh aku buat untuk melihat fail-fail mesyuarat MAINS yang lama.. tentu ianya dokumen terperingkat pada tahap sulit atau terhad sahaja..

Apapun, melalui penceritaan dan dengar khabar melalui pegawai senior dan juga orang-orang lama di Jelebu ini, dikhabarkan bahawa sebuah kubur di dalam tokong Cina yang terletak di atas bukit jalan ke Kampung Larong adalah merupakan al Fadhil Kadhi pertama daerah Jelebu.. ada juga yang mengatakan makam tersebut dimiliki oleh pendakwah berasal dari Minangkabau dikenali ‘Kadi Haji Ishak’ yang berhijrah pada period Penghulu Jelebu yang pertama iaitu Dato’ Gombak sekitar abad ke 18.. Dato’ Gombak ialah bapa mertua Dato’ Mentunggang (Penghulu Jelebu kedua), di samping datuk kepada Dato’ Moyang Salleh, Undang Luak Jelebu pertama yang dikenali dalam sejarah tempatan dengan tragedi ‘Memutus Tali Ke Johor’ pada 1757. Pada period Dato’ Gombak, Kadi Haji Ishak berdakwah bagi menyibarkan syiar Islam di daerah Jelebu, malah dikaitkan dengan pembinaan masjid yang pertama dikenali ‘Masjid Kuala Dulang’. Kadi Haji Ishak apabila berdakwah di daerah Jelebu dikenali pula sebagai ‘Kadi Padang Genting’ berdasarkan status ‘Raja Ibadat’ di Minangkabau berpaksi kepada ‘Raja Nan Tiga Sila’ (iaitu Raja Alam, Raja Adat dan Raja Ibadat).. (input)

Disamping itu, maklumat lain yang diperolehi ( di sini ), terdapat 3 orang ulama yang boleh juga dikaitkan dengan Kadhi Wilayah seperti Haji Luna Bin Haji Sidek ( 1880 – 1953), Haji Idris Bin Dato’ Udin ( 1860 – 1935) dan Lebai Muhamadiah Bin Muhamad Zain (1905-1968).. Namun setakat ini, senarai al Fadhil Tuan Kadhi yang dapat dikesan hanyalah beberapa orang sahaja, iaitu :-

1. Tuan Haji Mohd Isa
2. Tuan Haji Mohd Taib
3. Ustaz Husin b Harun ( Dato' ) = 1980 - 1981
4. Ustaz Yahya b Abd Aziz = 1981-1982
5. Ustaz Husin b Harun ( Dato' ) = 1982 - 1986
6. Ustaz Fauzi b Mohd Isa = 1986
7. Ustaz Mohd Fadzil b Abu Kassim = 1991 - 1996
8. Ustaz Amran bin Awaluddin = 1996 - 1999
9. Ustaz Mohd Raizalani b Mohd Rais = November 1999 - Mac 2003
10. Ustaz Ibrahim b Kasim = Mac 2003 - Jun 2008
11. Ustaz Rozimi b Zamri = Julai 2008 - sekarang

Menurut Yang Amat Arif Dato' Husin Harun ( bekas Kadhi Jelebu, sekarang Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan ), sebelum ini Luak Jelebu mempunyai 3 orang Kadhi Wilayah yang mentadbir mengikut zon iaitu Kadhi Wilayah Kuala Klawang, Kadhi Wilayah Kenaboi dan Kadhi Wilayah Durian Tipus.. dengan perkembangan organisasi Jabatan Agama maka jawatan Kadi Wilayah Klawang dan Kenaboi dihapuskan dengan mewujudkan Kadhi Daerah bagi mengepalai Luak Jelebu disamping mengekalkan Wilayah Durian Tipus yang termasuk dibawah pentadbiran Kadhi Daerah Jelebu..

Mulai akhir tahun 90'an seiring dengan pengembangan organisasi, Jabatan Kehakiman Syariah diwujudkan dengan dengan semua para Kadhi ini dilantik menjadi Tuan Hakim Daerah bagi daerah masing-masing dengan Kadi Besar pada masa itu menjadi Ketua Hakim Syarie yang secara pentadbirannya adalah Pengarah bagi Jabatan Kehakiman Syariah..Seiring itu juga, gelaran Tuan Kadhi diganti dengan gelaran Tuan Hakim Syarie manakala pentadbiran agama masih terus dijalankan oleh kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dengan gelaran jawatan Pegawai Agama Islam Daerah.. namun dek kerana dah menjadi kelaziman masyarakat umum, gelaran Tuan Kadhi masih melekat kepada Pegawai Agama Islam Daerah..

Jawatan Kadhi Daerah Jelebu ini juga pernah dipangku oleh beberapa orang dek kerana kekurangan pegawai di Jabatan Agama Islam.. mereka ialah Ustaz Ali Manap dan Tuan Haji Abu Zaki b Mohd Yusuf yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Kadhi Wilayah Durian Tipus.. Sekiranya Tuan/Puan mempunyai maklumat yang lebih lengkap mahupun berbeza dari apa yang terpapar di tempelan ini, pihak kami memohon jasa baik untuk tampil memaklumkan kami Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu di talian 06-6136276..ianya amat penting bagi pengetahuan generasi kita pada masa hadapan.. wallahu a'lam..

Tuesday, January 12, 2010

Masjid Jamek Simpang Pertang


Masjid Jamek Simpang Durian


Monday, January 11, 2010

Penubuhan..

Antara kelemahan yang ketara bagi umat Islam seluruh dunia ialah kurangnya pendokumentasian terhadap perjalanan hidup masyarakatnya .. yang banyak adalah berkaitan dengan permasalahan agama yang dilalui oleh umatnya sendiri..

Tidak terkecuali di Negeri Sembilan ini amat payah untuk menemukan sejarah awal penubuhan Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam itu sendiri..apatah lagi penubuhan Pejabat Agama Islam Daerah..tidak diketahui siapa yang mula-mula sekali memegang jawatan sebagai Kadhi/Pegawai Agama Islam Daerah..

Di atas merupakan sebuah bangunan yang masih wujud hingga sekarang di bandar Seremban.. siapa tak tahu bangunan ini di mana memanglah bukan orang Seremban atau dia pun tak perasan kat mana sebenarnya.. ini merupakan bangunan yang sekarang ini menjadi ibupejabat Bank Simpanan Nasional.. haaa,baru perasan kan..

Dinyatakan dalam website rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan ( Klik sini ), bahawa penubuhan awal jabatan bagi pengurusan hal ehwal masyarakat Islam di Negeri Sembilan adalah melalui satu mesyuarat yang diadakan pada 18 November 1950 untuk menubuhkan Majlis Mesyuarat Agama.. Aku beranggapan bahawa fungsi majlis ini lebih merupakan satu badan penasihat yang tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa perundangan terhadap orang Islam..Akhirnya fungsi majlis ini dipertingkatkan dengan penubuhan Majlis Ugama Islam Negeri Sembilan ( MUINS a.k.a MAINS )..

Hinggalah peredaran zaman dan masa berlalu, perkembangan dan tuntutan terhadap penubuhan jabatan khusus bagi pengurusan hal ehwal orang Islam semakin memuncak maka tertubuhlah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang terbit dari MAINS..Seterusnya perkembangan terus berlaku hingga lahir dari JHEAINS itu dua jabatan yang lain iaitu Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan..

Aku rasa begitulah secara kasarnya berlaku bagaimana wujudnya jabatan-jabatan ini..agaknya laa kan..