Thursday, January 21, 2010

Tuan Kadi / Tuan Kadhi / Tuan Kadzi...

Seperti yang dinyatakan sebelum ini ( di SINI ), memang payah nak mencari data / maklumat / info yang jelas berkaitan dengan pengurusan hal ehwal agama Islam di Negeri Sembilan ini.. bukan payah apa pun, dek kerana sejarah yang ada banyak di simpan secara lisan tanpa didokumenkan.. ataupun aku yang terlepas pandang serta malas untuk mencarinya..mungkin jugak.. tapi apa yang boleh aku buat untuk melihat fail-fail mesyuarat MAINS yang lama.. tentu ianya dokumen terperingkat pada tahap sulit atau terhad sahaja..

Apapun, melalui penceritaan dan dengar khabar melalui pegawai senior dan juga orang-orang lama di Jelebu ini, dikhabarkan bahawa sebuah kubur di dalam tokong Cina yang terletak di atas bukit jalan ke Kampung Larong adalah merupakan al Fadhil Kadhi pertama daerah Jelebu.. ada juga yang mengatakan makam tersebut dimiliki oleh pendakwah berasal dari Minangkabau dikenali ‘Kadi Haji Ishak’ yang berhijrah pada period Penghulu Jelebu yang pertama iaitu Dato’ Gombak sekitar abad ke 18.. Dato’ Gombak ialah bapa mertua Dato’ Mentunggang (Penghulu Jelebu kedua), di samping datuk kepada Dato’ Moyang Salleh, Undang Luak Jelebu pertama yang dikenali dalam sejarah tempatan dengan tragedi ‘Memutus Tali Ke Johor’ pada 1757. Pada period Dato’ Gombak, Kadi Haji Ishak berdakwah bagi menyibarkan syiar Islam di daerah Jelebu, malah dikaitkan dengan pembinaan masjid yang pertama dikenali ‘Masjid Kuala Dulang’. Kadi Haji Ishak apabila berdakwah di daerah Jelebu dikenali pula sebagai ‘Kadi Padang Genting’ berdasarkan status ‘Raja Ibadat’ di Minangkabau berpaksi kepada ‘Raja Nan Tiga Sila’ (iaitu Raja Alam, Raja Adat dan Raja Ibadat).. (input)

Disamping itu, maklumat lain yang diperolehi ( di sini ), terdapat 3 orang ulama yang boleh juga dikaitkan dengan Kadhi Wilayah seperti Haji Luna Bin Haji Sidek ( 1880 – 1953), Haji Idris Bin Dato’ Udin ( 1860 – 1935) dan Lebai Muhamadiah Bin Muhamad Zain (1905-1968).. Namun setakat ini, senarai al Fadhil Tuan Kadhi yang dapat dikesan hanyalah beberapa orang sahaja, iaitu :-

1. Tuan Haji Mohd Isa
2. Tuan Haji Mohd Taib
3. Ustaz Husin b Harun ( Dato' ) = 1980 - 1981
4. Ustaz Yahya b Abd Aziz = 1981-1982
5. Ustaz Husin b Harun ( Dato' ) = 1982 - 1986
6. Ustaz Fauzi b Mohd Isa = 1986
7. Ustaz Mohd Fadzil b Abu Kassim = 1991 - 1996
8. Ustaz Amran bin Awaluddin = 1996 - 1999
9. Ustaz Mohd Raizalani b Mohd Rais = November 1999 - Mac 2003
10. Ustaz Ibrahim b Kasim = Mac 2003 - Jun 2008
11. Ustaz Rozimi b Zamri = Julai 2008 - sekarang

Menurut Yang Amat Arif Dato' Husin Harun ( bekas Kadhi Jelebu, sekarang Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan ), sebelum ini Luak Jelebu mempunyai 3 orang Kadhi Wilayah yang mentadbir mengikut zon iaitu Kadhi Wilayah Kuala Klawang, Kadhi Wilayah Kenaboi dan Kadhi Wilayah Durian Tipus.. dengan perkembangan organisasi Jabatan Agama maka jawatan Kadi Wilayah Klawang dan Kenaboi dihapuskan dengan mewujudkan Kadhi Daerah bagi mengepalai Luak Jelebu disamping mengekalkan Wilayah Durian Tipus yang termasuk dibawah pentadbiran Kadhi Daerah Jelebu..

Mulai akhir tahun 90'an seiring dengan pengembangan organisasi, Jabatan Kehakiman Syariah diwujudkan dengan dengan semua para Kadhi ini dilantik menjadi Tuan Hakim Daerah bagi daerah masing-masing dengan Kadi Besar pada masa itu menjadi Ketua Hakim Syarie yang secara pentadbirannya adalah Pengarah bagi Jabatan Kehakiman Syariah..Seiring itu juga, gelaran Tuan Kadhi diganti dengan gelaran Tuan Hakim Syarie manakala pentadbiran agama masih terus dijalankan oleh kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dengan gelaran jawatan Pegawai Agama Islam Daerah.. namun dek kerana dah menjadi kelaziman masyarakat umum, gelaran Tuan Kadhi masih melekat kepada Pegawai Agama Islam Daerah..

Jawatan Kadhi Daerah Jelebu ini juga pernah dipangku oleh beberapa orang dek kerana kekurangan pegawai di Jabatan Agama Islam.. mereka ialah Ustaz Ali Manap dan Tuan Haji Abu Zaki b Mohd Yusuf yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Kadhi Wilayah Durian Tipus.. Sekiranya Tuan/Puan mempunyai maklumat yang lebih lengkap mahupun berbeza dari apa yang terpapar di tempelan ini, pihak kami memohon jasa baik untuk tampil memaklumkan kami Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu di talian 06-6136276..ianya amat penting bagi pengetahuan generasi kita pada masa hadapan.. wallahu a'lam..

0 comments:

Post a Comment